• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Puteri UMNO Hulu Terengganu Sedia Bertempur Menangkan BN


Rozita
Jentera gerak gempur pilihan raya UMNO sudah mula bergerak secara berperingkat-peringkat di seluruh negara sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus memenangkan Barisan Nasional (BN) untuk kekal menerajui negara dan juga negeri.

Puteri sebagai sayap kiri parti keramat itu perlu bekerja keras terutama menarik lebih ramai ahli baru terutamanya pengundi kali pertama dan seterusnya memastikan mereka menjadi pengundi yang bijak bagi menjamin kemenangan BN.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozita Ismail berkata, bagi ahli Puteri inilah masa terbaik untuk mematangkan diri dalam politik sebelum mereka beranjak kepada Wanita UMNO satu hari nanti serta mampu memikul tanggungjawab tersebut dan sentiasa bersemangat menjayakan perjuangan parti dalam mengangkat martabat bangsa.

“Saya yakin program-program politik yang dijalankan oleh Puteri mampu mengenal pasti dan menarik lebih ramai orang muda untuk bersama-sama UMNO dan BN. Perang politik hari ini bukan lagi berbentuk tradisional atau kerahan tenaga tapi sekarang ia lebih kepada perang idea dan pendapat serta bagaimana kita menangani isu-isu yang diutarakan pihak lawan.

“Kita mahu hasilkan ahli Puteri UMNO yang berkualiti, bukan setakat ramai dari segi bilangan sahaja.Kita mahu Puteri pada hari ini dikenali sebagai wadah perjuangan orang muda yang terbaik dan melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkaliber.

 “Sebagai sayap parti yang mewakili orang muda, sudah pasti kami akan mensasarkan golongan belia dan beliawanis untuk menyokong Barisan Nasional melalui pelaksanaan program yang berbentuk ilmiah dan lain-lain program yang berupaya menarik perhatian golongan ini,” katanya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Rozita berkata, dengan lahirnya ahli-ahli Puteri yang mampu berkomunikasi dan bijak mengutarakan pendirian parti, banyak isu yang dimainkan pembangkang akan dapat ditangkis dengan mudah terutama melalui media baru.

Tag: