• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Raih RM1,800 Sebulan Hasil Tanaman Nangka Madu Semusim


Walaupun mengusahakan tanaman nangka madu hanyalah sebagai pekerjaan sambilan,  Roslan Mohamad, 47, mampu memperolehi pendapatan sekitar RM1,800 untuk semusim hasil perusahaannya itu.

Ketika ditemui di kebun nangkanya Projek Kelompok Tanaman Nangka Madu yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Pelong, Setiu, Roslan yang bekerja sendiri itu mengakui dia tidak memerlukan banyak tumpuan untuk menjaga kebunnya.

"Saya lakukan kerja ini secara sambilan sahaja. Saya mula menanam nangka madu itu sejak 2012 dan hasilnya boleh dituai pertengahan tahun lepas dengan memperolehi pendapatan sekitar RM1,800 sehingga selesai musim berbuah," katanya.

Roslan berkata, pada peringkat awal dia mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM3,000 untuk membersih tanah berkelompok itu yang sebelum ini adalah tanah hutan yang belum diusahakan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan termasuk Jabatan Pertanian kerana menghulurkan semua bantuan untuk menjayakan kebun nangka itu termasuklah bantuan anak benih dan baja," katanya.

Roslan yang menggunakan masa lapangnya untuk menguruskan kebun nangka itu mengakui sambutan orang ramai terhadap nangka madu amat menggalakkan.

"Buah ini memang laku kerana rasanya yang enak dan berkhasiat, saya tidak perlu menjualnya ke tempat lain kerana pembeli akan datang ke rumah setiap kali musim berbuah ataupun saya menjualnya hanya di kawasan sekitar kampung dan tidak sempat memasarkan di tempat lain," katanya.

Seramai 29 penduduk menyertai Tanaman Berkelompok Nangka Madu itu dengan setiap peserta diberi tanah 0.8 hektar untuk diusahakan.

Mereka mula mengusahakan kebun berkenaan sejak 2012 dan kini sedang memperolehi hasil kedua yang akan tamat Januari ini.

Tag: