• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

RAK Turut Bantu Ahli Terkesan

KEMAMAN, 5 Julai - Radio Amatur Kemaman (RAK) turut membantu ahlinya yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan oleh kerajaan akibat pendemik Covid 19 yang melanda negara.

Presiden penajanya, Zawawi Mohamed mengambil pendekatan dengan menyantuni dan menghulurkan sedikit bantuan barangan dapur bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh ahlinya pada masa ini.

Zawawi (kiri) menyerahkan bantuan kepada Azman Idris 9W2CQA

"Kita sedar dan cuba membantu ahli RAK dalam menghadapi waktu yang agak sukar dengan graf semasa jangkitan yang tidak menentu.

"Sesetengah daripada mereka bekerja didalam sektor yang melibatkan orang ramai seperti katering, penyediaan peralatan majlis perkahwinan, pengacara majlis, penyediaan sistem bunyi dan klinik kesihatan diri amat terkesan di waktu ini," katanya.

Zawawi berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Kerteh kelmarin.

Dalam masa yang sama setiausahanya, Wan Abdul Hadi Wan Abdul Kamil berkata dia telah mengesan beberapa ahli daripada 200 ahlinya di Kemaman yang terjejas pendapatannya.

"Kita cuba sedaya mungkin untuk membantu mereka ini yang sebahagian besarnya adalah petugas sukarelawan semasa banjir besar yang melanda Kemaman pada tahun 2013," ujarnya.

Sumbangan kepada Salasiah Salleh 9W2SZS

Zawawi yang memegang 'callsign' 9W2OOV mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, YB Cikgu Razak Ibrahim selaku Pengerusi Kebajikan Parlimen Kemaman dan Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid diatas sumbangan barangan tersebut.

RAK berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan urusan pentadbirannya dengan agensi kerajaan dan pertubuhan yang lain.


Tag: