• 25 Jul 2024 | 18 Muharam 1446

Rakyat 'Tegur Kerajaan' di Sungai Bakap

KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ucapan tahniah atas kemenangan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, semalam.

Menurutnya, walaupun peratusan keluar mengundi sedikit menurun berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berjaya mempertahankan kerusi kawasan itu dengan majoriti lebih besar iaitu 4,267 undi, berbanding 1,563 undi.

"Tentunya (kemenangan ini) berkait dengan testimoni rakyat yang ingin menyatakan pendirian mereka tentang penolakan beberapa isu yang ada di negara kita ini, antara isu yang ada di Sungai Bakap ialah isu air, subsidi diesel dan yang paling utama terangkum dalam semua itu adalah kos sara hidup yang menekan keseluruhan rakyat terutama para pengundi di Sungai Bakap," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya sebagaimana pernah diucapkannya sebelum ini, suasana gerak kerja jentera di Sungai Bakap dilihat lebih meningkat berbanding PRK-PRK sebelum ini dibantu model baharu yang dilaksanakan pihak PN.

"Kita lihat kerjasama yang lebih tersusun di kalangan petugas parti, lebih kurang kami sudah mendapat rentak untuk pilihanraya akan datang.

"Modal yang dilaksanakan Alhamdulillah lebih berkesan, sekiranya wujud pilihan raya lain seperti Nenggiri dan kemungkinan pilihan raya di peringkat parlimen, model yang sama akan digunakan," ujarnya.

Ketika ditanya tentang persediaan PN bagi menghadapi PRK Nenggiri selepas ini, Dr Samsuri memaklumkan pihak parti belum memuktamadkan sebarang keputusan untuknnya.

"Belum lagi, sebab saya rasa masing-masaing ingin melihat keputusan di Sungai Bakap sebelum kita berbincang (lanjut) tentang PRK Nenggiri," katanya.


Tag: