KUALA TERENGGANU, 11 November – Hasrat rakyat pantai timur untuk melihat Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) direalisasikan terus tertangguh, meskipun kajian asal projek itu telah siap sejak tahun 2009.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, penangguhan berpanjangan terhadap projek berimpak tinggi itu amat mengecewakan kerana ia sepatutnya menjadi nadi utama penggerak ekonomi Terengganu dan negeri-negeri pantai timur.
"Rakyat pantai timur terus menanti dengan sabar pelaksanaan LPT3 yang telah lama tertangguh," katanya ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
"Malangnya, LPT3 tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mahupun dalam Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2026," ujarnya.
Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan besar terhadap keadilan dalam pembahagian pembangunan negara apabila projek Laluan Rel Transit (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang bernilai RM17 bilion mendapat peruntukan penuh daripada kerajaan persekutuan.
"Sedangkan projek di negeri lain mendapat keutamaan, rakyat Terengganu pula terus menunggu hak mereka yang sepatutnya telah lama diterima," katanya dengan nada kesal.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya kerajaan negeri memperjuangkan dengan tegas hak Terengganu agar pembangunan infrastruktur strategik seperti LPT3 tidak terus dianaktirikan.
"Kerajaan negeri mesti menuntut keadilan dalam pembahagian pembangunan nasional supaya rakyat Terengganu tidak terus ketinggalan," tegasnya.
Mohd Fadhli menyeru agar kerajaan pusat menilai semula keutamaan pembangunan, dengan menegaskan bahawa keadilan pembangunan bukan soal politik, tetapi tanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat di seluruh pelosok negara.