• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

`Rasa Macam Kena Gigit Semut Je '


 Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 4 Disember - Berkhatan memberi pengalaman berbeza buat seorang kanak-kanak, Mohd Adib Mohd Jazeri, apabila berdepan dengan proses itu tanpa rasa sakit sebaliknya hanya seperti digigit semut gatal sahaja.

Menurut bapanya, Mohd Jazeri Muhammad, anaknya yang akan memasuki Tahun Empat pada sesi 2019 nanti sangat teruja untuk melalui `fasa dewasa' itu dan tidak sabar menunggu waktu dikhatankan.

"Saya bercerita pada dia perihal bersunat buat dia tak sabar. Saya cakapkan pada dia bila dah bersunat, maka cepat dewasa. Anak saya tidak menunjukkan tanda takut, malah sangat teruja," ujarnya.

Mohd Jazeri berkata demikian ketika menghadiri majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau, Bukit Besi, di sini, hari ini.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Penyelidik Tanah Persekutuan, Naraza Muda.

Beliau berkata, majlis itu dapat merapatkan lagi jurang antara MPKK dengan masyarakat.

Menurunya, berkhatan merupakan simbolik kepada anak yang melalui fasa perubahan usia dan menginjak dewasa.

"Jika dahulu upacara berkhatan ini dilakukan selama dua hari dua malam di Felda ini, seingat saya dulu-dulu. Anak-anak didukung oleh ayah dan diarak sekeliling kampung.

"Namun itu hanya tradisi, apa yang lebih penting ianya merupakan tuntutan di dalam Islam. Anak-anak sudah menjadi sebahagian masyarakat, jika pergi ke masjid sudah boleh berada di saf orang tua," katanya.


Tag: