• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Rehal Kayu Tradisional Jadi Pendapatan Sampingan Damri

KUALA NERUS, 29 Jun  - Rehal kayu dengan seni buatan kemas dan halus menjadi pendapatan sampingan buat sebuah keluarga di Kampung Jeram Hilir, Tepoh di sini.

Damri Muda, 59, ketika ditemui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim baru-baru ini berkata, walaupun harga hasil tangannya itu tidak terlalu tinggi, tetapi keuntungannya cukup untuk mengurangkan beban sekeluarga.

"Seni kayu pada mulanya saya jadikan sebagai hobi, namun disebabkan mendapat minat daripada ramai orang saya terus menjadikan pembuatan rehal kayu ini sebagai salah satu pendapatan untuk menampung kehidupan.

“Rehal kayu ini dibuat menggunakan sekeping kayu cengal atau seraya, dibentuk untuk digunakan sebagai alas bacaan atau untuk diletakkan gajet, boleh dilaras tinggi ataupun rendah," ujar Damri ketika dikunjungi Hishamuddin.

Dalam pertemuan itu, Damri turut berkongsi cara-cara pembuatan rehal tradisional itu.

Ia dibuat sepenuhnya secara manual dan tidak menggunakan mesin untuk menghasilkan rehal kayu tersebut. 

Di akhir ziarah itu, Hishamuddin turut berkesempatan membeli rehal yang dihasilkan dan menyalurkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 kepada keluarga Damri. 

Produk rehal kayu keluaran Damri Muda ini boleh didapati di kediaman beliau atau boleh menghubungi terus beliau melalui laman media sosial, Rehal Kayu Tradisional.


Tag: