• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Replika Kepala Kereta Api Singkap Sejarah Dungun

DUNGUN, 19 September - Replika kepala kereta api yang dipertaruhkan daerah Dungun pada Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, baru-baru ini bertujuan menyingkap kembali lembaran sejarah yang daerah itu pernah mempunyai perkhidmatan kereta api.

Pegawai Daerah Dungun, Yusman Ibrahim berkata, idea tersebut diketengahkan untuk mengembalikan nostalgia bahawa Dungun, daerah yang  sinonim dengan bijih besi dan menjadi tumpuan penduduk seluruh negara satu masa dahulu di mana kereta api menjadi pengangkutan penting kepada pekerja lombong, peniaga serta orang ramai untuk berulang-alik dari Bukit Besi ke pekan Dungun ketika itu.

"Replika kita adalah bentuk sebenar kepala kereta api wap yang terakhir digunakan dimana arkitek kita ke Muzium Negeri Terengganu untuk mengambil gambar objek tersebut," katanya. 

Beliau berbesar hati kerana Dungun telah diumumkan sebagai Naib Juara  Pertandingan Kenderaan Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. 

Dengan kemenangan tersebut pasukan yang disertai oleh Majlis Perbandaran Dungun, Pejabat Daerah Dungun, Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun dan KETENGAH telah berjaya membolot hadiah RM 15,000.

Menurut Jusman, kerja - kerja menyiapkan kereta berhias itu telah mengambil masa dua minggu. 

"Saya ucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dan sanggup bersekang mata hingga lewat malam, dan hari yang terakhir sehingga 5 pagi masih lagi bertungkus lumus semata - mata hendak memastikan lampu - lampu yang menghiasi replika kami itu bercahaya di malam pertandingan, "katanya.

 


Tag: