Berita :
Resort Melayu di Tenggol Bertahan Demi Pelancong Muslim
Resort Melayu di Tenggol Bertahan Demi Pelancong Muslim
Hafiz Rosli
17 jam yang lepas
50

DUNGUN, 1 Mei - Bekas pensyarah Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Rubi Ahmad, bersama suaminya merupakan pemilik Kapal Tenggol Dive Lodgel kini menjadi satu-satunya pengusaha Melayu yang masih beroperasi di Pulau Tenggol.

Menurutnya, mereka terlibat dalam sektor pelancongan di pulau itu bagi menyediakan pilihan kepada pelancong Melayu dan Muslim.

“Ini bagi memastikan mereka tidak berdepan kebimbangan dari segi makanan serta kemudahan mesra Muslim. 

“Kami membuka usaha ini untuk membantu pelancong Muslim mendapatkan persekitaran yang lebih selesa dan patuh syariah,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama penggiat pelancongan Pulau Tenggol, pengusaha resort serta komuniti penyelam (divers) yang diadakan di Kapal Tenggol Dive Lodge.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris serta Pegawai Daerah Dungun, Fadli Yusof Zakaria.



Tambah Dr Rubi, keadaan ekonomi semasa yang berbeza berbanding dahulu memberi tekanan kepada pengusaha kecil untuk terus bertahan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan antara cabaran utama ialah kekangan tanah dan ruang operasi yang kebanyakannya disewa, menyebabkan kawasan semakin kecil dan kos semakin meningkat.

“Bagi terus bertahan, kami merancang membangunkan konsep penginapan “glamping” menggunakan khemah yang fleksibel, namun masih belum mendapat kelulusan,” Ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan dapat membantu pengusaha tempatan, khususnya Bumiputera, agar terus kekal dalam industri ini.

Sementara itu, rakan kongsi, Profesor Dr Ghazali Musa yang juga merupakan mantan Pensyarah UM berharap lebih ramai usahawan Melayu tampil menceburi sektor pelancongan di Pulau Tenggol.

“Kita mahu lihat lebih banyak penglibatan orang Melayu supaya industri ini lebih seimbang dan terus berkembang.

“Sekali gus, dapat melihat lebih ramai usahawan Melayu dan Bumiputera tampil meneroka peluang dalam sektor pelancongan, khususnya di Pulau Tenggol,” katanya.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan