HULU TERENGGANU, 2 Mei - Nasib seorang balu bersama tiga anak kecil yang kehilangan ketua keluarga selepas tragedi menyayat hati, mendapat pembelaan apabila layak menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pengarah PERKESO Negeri Terengganu, Farihah Che Hussin berkata, hasil semakan mendapati Allahyarham Muhammad Syukri Bazli, 31, mempunyai rekod caruman yang melayakkan waris menerima faedah berkenaan.

"Balu Allahyarham layak menerima bayaran ini sepanjang hayat, manakala tiga anaknya akan menerima bantuan sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
"Anak-anak ini masih kecil dan memerlukan sokongan berterusan, lebih-lebih lagi apabila ibu mereka merupakan suri rumah sepenuh masa," katanya ketika ditemui pada program Ziarah Prihatin di kediaman keluarga arwah di Ajil, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, PERKESO turut menyalurkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar bagi membantu urusan selepas pemergian arwah.
Farihah berkata, pihaknya bertindak pantas sebaik menerima maklumat kes berkenaan yang tular di media sosial dengan melakukan semakan segera melalui Skuad PERKESO Prihatin.
"Dalam tempoh lima hari selepas kematian, kita telah memproses dan meluluskan faedah berkaitan agar waris tidak terbeban dalam tempoh sukar ini," ujarnya.
Menurut beliau, dari Januari 2025 hingga Mac 2026, Skuad PERKESO Prihatin Negeri Terengganu telah membantu memudahkan urusan melibatkan 545 kes pencarum di negeri itu.
"Kita turun ke padang, maknanya bila kita turun ke padang waris tak perlu pun hadir ke pejabat Perkeso.
"Secara atas talian sahaja hubungi, dapatkan maklumat, terus kita buat pembayaran sesegera yang mungkin," katanya.
Terdahulu, kisah Allahyarham Muhammad Syukri yang meninggal dunia akibat pendarahan otak pada 26 April lalu mendapat perhatian ramai selepas keluarga bersetuju mendermakan organ arwah, sekali gus memberi sinar baharu kepada pesakit lain.