• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Ringgit Lemah : Penggiat Pelancongan Dinasihat Jangan Naikkan Harga

KUALA NERUS, 20 Mei - Para penggiat pelancongan dalam negara dinasihatkan tidak ghairah menaikkan harga pakej percutian mereka susulan senario kelemahan nilai ringgit yang berlaku ketika ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Syukri berkata, tindakan itu boleh merencatkan permintaan dalam sektor berkenaan.

"Kita menyarankan mereka (penggiat pelancongan) supaya tidak mengambil kesempatan kepada pelancong, sebab kita sama-sama mempunyai satu misi iaitu mahu melihat Malaysia lebih maju dari sudut ekonomi.

"Jadi sama-sama kita tolong satu sama lain, jangan  ketatkan lagi peluang orang lain bercuti sebaliknya giatkan lagi rezeki masing-masing melalui sektor pelancongan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rewang Raya dan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2022 di Masjid Seberang Takir, di sini hari ini.

Jelas Nancy, pihaknya sukar untuk mengawal sekiranya ada pihak yang masih mengambil peluang untuk menaikkan harga namun ia bergantung kepada pelancong itu sendiri.

"Kita minta kebijaksanaan pelancong sendiri untuk menilai dan mereka boleh melihat sendiri perbandingan kerana sekarang semua atas talian jadi boleh lihat sendiri dari segi harga mana yang terbaik.

"Kadang-kadang mereka memilih untuk harga mahal dengan kualiti terbaik. Oleh sebab itu, kita serahkan kepada mereka untuk menilai dan memastikan mereka memilih dengan bijak," tambahnya.