lightning-solid
Berita :
Riuh Sekampung! Hampir 1,000 Gegar Padang Maras
Riuh Sekampung! Hampir 1,000 Gegar Padang Maras
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
49

KUALA NERUS, 8 Februari - Sawah padi yang menghijau bertukar ‘trek larian’ apabila hampir 1,000 peserta membanjiri Terengganu Inc Padang Maras Fun Run 3.0 di Kampung Maras, di sini, hari ini.

Acara tahunan ikonik itu terus mencuri perhatian peminat larian jarak sederhana dan santai apabila edisi ketiga penganjurannya tampil lebih meriah dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc).

Menampilkan konsep larian komuniti berlatarkan panorama kampung, peserta berlari sejauh lima kilometer merentasi kawasan sawah padi, pokok kelapa serta bukit-bukau yang menjadi tarikan unik acara tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, penglibatan syarikat dalam penganjuran acara tersebut adalah selari dengan komitmen berterusan untuk menyokong pembangunan komuniti setempat melalui aktiviti yang memberi manfaat sosial, kesihatan dan ekonomi.

“Terengganu Inc melihat penganjuran acara seperti ini sebagai platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara korporat dan masyarakat, di samping menggalakkan gaya hidup sihat serta mempromosikan keunikan pelancongan desa di Terengganu,” katanya.

IMG-20260207-WA0017.jpg 593.15 KB
Beliau berkata, sokongan yang diberikan juga diharap dapat menyemarakkan lagi usaha NGO dan komuniti setempat dalam menganjurkan program berimpak tinggi yang mampu menarik penyertaan masyarakat pelbagai lapisan.

Lebih mencuri tumpuan, peserta hadir menggayakan pelbagai busana bertemakan budaya tempatan selari dengan slogan “Riuh Sekampung”, sekali gus mencetuskan suasana penuh warna-warni dan kemeriahan sepanjang laluan larian.
IMG-20260207-WA0016.jpg 813.3 KB
Sementara itu, Setiausaha Kelab Sukan Rekreasi Bukit Maras, Mohd Izham Mohd A. Wahid berkata acara yang dianjurkan setiap Februari itu turut memberi pengalaman berbeza khususnya kepada peserta luar yang pertama kali menjejaki kawasan sawah padi di Padang Maras, selain lokasinya yang berhampiran tarikan popular Kopi Sawah Maras.

Katanya, selain berlari, peserta turut dihidangkan dengan pelbagai juadah tradisional termasuk kuih-muih kampung, air tebu, cendol serta kopi sawah, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia suasana desa.

Tidak hanya tertumpu kepada aktiviti larian, penganjuran kali ini turut dimeriahkan dengan pertandingan pakaian tema terbaik serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

“Terengganu Inc Padang Maras Fun Run 3.0” dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Bukit Maras dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu,

Selain itu, ia turut meneruma tajaan Pejabat MOTAC Negeri Terengganu, Jasmine Food Corporation, Syarikat Air Terengganu (SATU), Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd., JPKKP Wakaf Catur serta rakan penaja lain.

Tambahnya lagi, penganjuran acara ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah berjaya mengangkat potensi pelancongan desa dan mengeratkan hubungan komuniti setempat.


Tag :

Artikel Berkaitan