HULU TERENGGANU, 14 September– Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi membantu 192 pasangan pengantin dari golongan B40 melangsungkan perkahwinan menerusi Program Walimatul Urus Perdana 2025 yang berlangsung serentak di seluruh daerah pada Sabtu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja meringankan beban kewangan pasangan pengantin, malah berperanan memupuk nilai kekeluargaan serta mengukuhkan institusi perkahwinan di negeri ini.

“Kita bersyukur kerana dapat bersama-sama dalam Program Walimatul Urus Perdana Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Hulu Terengganu, yang juga diadakan serentak di semua daerah.
"Saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengantin baru yang secara serentak diijabkabulkan, seramai 192 pasangan seluruh negeri termasuk 20 pasangan di daerah Hulu Terengganu,” katanya.
Majlis resepsi peringkat negeri disempurnakan beliau bersama isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu selepas upacara akad nikah di Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang.
Turut hadir barisan kepimpinan negeri termasuk Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mufti Negeri Terengganu, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, serta ahli keluarga pengantin.
Tambah beliau lagi, perkahwinan merupakan sunnah Nabi SAW dan fitrah manusia yang diberkati Allah SWT, selain menjadi amanah besar dalam membina Baitul Muslim.
Katanya, ia juga merupakan perjalanan panjang yang memerlukan kesabaran, persefahaman, toleransi dan kasih sayang berterusan.

“Alam rumah tangga penuh suka duka, ada kebahagiaan dan cabaran. Tempuhilah dengan bersama-sama menghadapi segala ujian,” ujarnya.
Program tahunan anjuran kerajaan negeri ini dilihat bukan sahaja membantu pasangan pengantin memulakan kehidupan berumah tangga dengan lebih mudah, malah menjadi wadah memperkukuh ukhuwah masyarakat melalui penyertaan keluarga dan komuniti setempat.