• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RM1.6 Juta Diagihkan Kepada Mangsa Banjir Dungun

DUNGUN, 13 April - Sebanyak RM1,662,000 Bantuan Wang Ihsan (BWI) disampaikan kepada seramai  1662 Ketua Isi Rumah(KIR) mangsa banjir 2021 dan 2022 di Dungun, semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Dungun, Kapten (AP) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, bagi fasa 1 seramai 1094 KIR telah menerimanya dan selebihnya akan menerima bantuan tersebut dalam fasa 2, tidak berapa lama lagi. 

"Mereka yang terjejas banjir ini akan menerima RM1,000  bagi setiap keluarga melibatkan mangsa - mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Ahmad Kamal berkata demikian ketika ditemui di majlis agihan BWI berkenaan yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Dewan Sivik Jerangau, di sini.

Berhubung bantuan yang diterima, beliau turut menasihati para penerima supaya berfikir dahulu sebelum berbelanja.

"Memandang kita mendapat rezeki dalam suasana menyambut bulan Ramadan dan di dalam membuat persiapan hari raya, berpada-pada dalam berbelanja supaya bantuan itu turut dapat menyelesaikan keperluan kita yang sebenar," katanya. 
Sementara itu Alias pula memberitahu, penerima fasa 1 melibatkan mangsa banjir di Kampung Wa dan sebahagian Kampung Pinang Baru. 

"Manakala kampung-kampung lain yang terlibat banjir di DUN Rantau Abang akan menerima bantuan ini pada fasa kedua," katanya. 


Tag: