• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

RM2.4 Bilion Pelaburan Berpotensi Dibawa Masuk Setakat April

KUALA TERENGGANU, 28 April- Sebanyak RM2.4 bilion nilai pelaburan yang berpotensi, sedang dibawa masuk ke negeri Terengganu setakat April ini.

Demikian penjelasan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Menurutnya, pembangunan di negeri Terengganu kini berada pada landasan yang tepat dan seimbang, dengan tumpuan diberikan terhadap usaha mengembangkan ekonomi serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

"Kerajaan Tuanku sedang berusaha keras, bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan.

"Pada tahun 2023 sahaja, negeri Terengganu telah berjaya mencatatkan, jumlah pelaburan yang diluluskan (total approved investment) sebanyak RM3.75 bilion. 

"Bagi tahun 2024, Kerajaan Tuanku berusaha memastikan jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini akan terus meningkat, seiring dengan hasrat bagi menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu," katanya ketika berucap dalam Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah,pagi ini.

Dr. Samsuri menambah, kerajaan negeri turut menyasarkan seramai 4.5 juta kehadiran pelancong ke negeri Terengganu bagi tahun 2024 berbanding 3.6 juta pelancong yang direkodkan pada tahun lalu.

"Sebanyak 12 acara utama dan 62 acara sampingan telah dirancang melalui Kalendar Acara Tahunan 2024 (Calendar of Events 2024), bagi meningkatkan limpahan manfaat, daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026dalam mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama dalam negara.

"Selain itu, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 menunjukkan, terdapat beberapa program pertanian, perikanan dan penternakan yang berpotensi dikembangkan pelaksanaannya, bagi perancangan strategik lima tahun mendatang,"ujarnya.

Beliau memaklumkan laporan pencapaian Pelan Strategik Pertanian yang melabuhkan tirainya tahun lalu, sedang disiapkan.

 

 

 

 

 


Tag: