• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

KEMAMAN, 18 September - Kerajaan menambah baik astaka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh atau dikenali Ayer Puteh Secondary School (APSES) yang menelan belanja RM29,000.

Astaka APSES yang terbengkalai selama lapan tahun berubah wajah hari ini selepas peruntukan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid digunakan untuk menyiapkan astaka APSES.

Katanya, seramai 500 lebih orang murid di APSES mendapat manfaat.

"Selepas ini tidak perlu lagi pasang dan cabut kanopi setiap kali program diadakan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Astaka APSES semalam.

Gimik perasmian disempurnakan Che Alias dengan memecahkan ketulan air batu yang diselit kain rentang bergulung tertulis SMK Ayer Puteh, Astaka APSES dan berlatar belakangkan astaka yang siap dinaik taraf. 

Sementara itu, Pengetua SMK Ayer Puteh, Mohd Sadri Tengah mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang sentiasa turun padang bersama masyarakat.

"Alhamdulillah atas kecaknaan Ahli Parlimen Kemaman, Astaka APSES mampu berdiri megah," ujarnya.

Astaka APSES dibina untuk mewujudkan suatu tempat kegiatan kokurikulum dan sukan bagi melahirkan murid-murid yang lebih aktif. 

Majlis diadakan di Dewan Utama SMK Ayer Puteh. Hadir sama, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Sekolah (PPD) Sektor Pengurusan Sekolah Menengah, Tajol Abidin Abdullah, Penghulu Mukim, Mohd Azlan Ibrahim, Yang Dipertua PIBG, Nazar Sidek dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Che Alias turut melawat Astaka APSES dan menandatangani plak perasmian disaksikan guru-guru dan pelajar-pelajar APSES.