• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

RM500 Bantuan Pendidikan STPM Kepada Pelajar Tingkatan 6 Atas Terengganu Kekal Relevan

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Kerajaan negeri dijangka masih kekal dengan pemberian bantuan pendidikan sebanyak RM500 kepada pelajar Tingkatan 6 Atas 2020 bagi anak Terengganu yang belajar di negeri tersebut.

Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim berkata, bantuan tersebut adalah susulan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu pelajar Tingkatan 6 Atas di seluruh Terengganu yang tidak memperoleh Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).

"Bantuan BKP dari Kerajaan Pusat ini menyediakan peruntukan bagi pelajar Tingkatan 6 Atas aliran sains dan sastera yang berjaya. Memandangkan tidak semua pelajar akan dapat biasiswa tersebut, maka kerajaan negeri menyalurkan bantuan pendidikan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebanyak RM500 seorang dalam usaha membantu meringankan bebanan pengajian anak-anak Terengganu yang bakal menduduki STPM.

"Jumlah bantuan ini adalah keputusan kerajaan negeri berdasarkan keadaan kewangan semasa negeri yang dibentangkan dalam Bajet 2020 yang lalu. Untuk tahun hadapan, kita sedang dalam proses mengangkat permohonan bantuan yang serupa di mana belum diputuskan lagi jumlah bantuan tersebut berdasarkan kriteria yang dinyatakan.

"Dijangkakan RM500 seorang akan kekal diberikan oleh kerajaan negeri sebagai pemberian bantuan sepertimana yang dinyatakan," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Terdahulu Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri mengharapkan agar insentif dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri akan menambahkan lagi semangat anak-anak pelajar untuk memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan sehingga peringkat tertinggi.

"Sudah pasti dengan adanya bantuan sebegini, meskipun jumlahnya tidaklah besar, sedikit sebanyak dapat menampung kos menyediakan kelengkapan pembelajaran atau membayar yuran peperiksaan," katanya.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu turut menyediakan Bantuan Persediaan Ke IPT (Institusi Pengajian Tinggi) sebagai pemberian 'one-off' kepada anak Terengganu yang berjaya melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat pengajian.

Bantuan persediaan ke IPT tersebut diberikan sebanyak RM500 bagi peringkat sijil, asasi dan matrikulasi, RM750 bagi peringkat diploma dan RM1,000 bagi peringkat ijazah pertama, master dan PhD.

 


Tag: