• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

RM500 Untuk Pemenang Pingat Emas Acara Memanah SUKMA

Ustaz Mohd Nor Hamzah memberikan motivasi kepada para atlet acara memanah SUKMA. Foto - Syaiful Mustafa

 Oleh: Syaharulhafizi Shamsudin

Sagu hati RM500 akan diberikan kepada atlet Terengganu yang berjaya membawa pulang pingat emas dalam dalam acara memanah Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan berlangsung di Perak tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, RM500 akan diberikan sebagai hadiah kepada pemenang pingat emas dalam acara tersebut.

Beliau yang merupakan bapa angkat kepada Pasukan Memanah Terengganu bersedia memberikan sumbangan peribadi itu untuk menghargai dan menaikkan motivasi pemain-pemain pasukan negeri.

“Semoga mendapat pertolongan daripada Allah untuk memberikan kemenangan kepada anda semua yang telah berusaha dengan gigih.

"Kita perlu mengharumkan Negeri Terengganu bahkan mengangkat sukan memanah ini sebagai sukan yang hebat..

"Saya yakin dan positif terhadap pasukan ini, mudah-mudahan mereka mampu mencapai keputusan yang baik dan membawa pulang sekurang-kurangnya 5 emas, 2 perak dan 2 gangsa," tambahnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas Lawatan Bertemu Pasukan Memanah Negeri Terengganu di Padang Sasar Scout Inn, Seberang Takir, semalam (15 Ogos).

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Padang Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, Perak, pada 15 hingga 21 September 2018.

Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut memberikan motivasi dengan menyatakan bahawa mereka yang bersungguh-sungguh dalam sukan memanah ini akan mendapat pahala.


Ianya kerana memanah ialah antara perkara yang menjadi sunnah dalam ajaran Islam.

Beliau juga berpesan supaya para pemain dapat menjaga dan meningkatkan  kesihatan mental dan jasmani dalam persediaan menghadapi pertandingan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Lawatan Ustaz Mohd Nor Hamzah bertemu pasukan memanah Negeri Terengganu bertujuan untuk melihat tahap prestasi dan juga menyuntik semangat kepada para atlet.

Pasukan ini terdiri daripada 14 orang atlet. Mereka berlatih setiap hari kecuali hari Selasa dan dibantu oleh beberapa jurulatih yang profesional.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Ibni Amin Busu bersama Pengurus Pasukan Memanah, Jailani Halus.


Tag: