KUALA TERENGGANU, 16 November - Kerajaan Terengganu membelanjakan RM68,765 menerusi Tabung Darul Iman bagi membantu 54 penerima yang terjejas akibat bencana alam di Parlimen Hulu Terengganu sehingga September tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, bantuan itu melibatkan dua kawasan DUN, iaitu Kuala Berang dan Telemong.
“Kuala Berang menerima peruntukan terbesar, iaitu RM45,165 yang disalurkan kepada 51 penerima.
“Manakala DUN Telemong menerima bantuan sebanyak RM23,600 melibatkan tiga orang penerima,” katanya.
Maliaman memberikan maklumat itu dalam jawapan bertulis pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, hari ini.
Bantuan tersebut merupakan antara usaha kerajaan negeri menyalurkan sokongan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana alam di kawasan berkenaan.