KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Al-Azhar Care memperuntukkan sumbangan sebanyak RM80,000 tahun ini bagi membantu pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke Timur Tengah, khususnya mereka yang tidak menerima tajaan daripada mana-mana pihak.
Presiden Al-Azhar Care, Alif Mahari, berkata pemberian tersebut merupakan tahun keempat dilaksanakan selepas sumbangan seumpama itu diperkenalkan sejak 2023.
Menurutnya, bantuan berkenaan diberikan setiap tahun bagi meringankan beban pelajar yang memerlukan sokongan kewangan sebelum memulakan pengajian di Timur Tengah.
“Azhar Care setiap tahun memberikan sumbangan kepada pelajar yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana pihak,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Dalam pada itu, Alif turut berpesan kepada para pelajar supaya tidak menganggap kepandaian sebagai satu-satunya syarat untuk mencapai kejayaan, sebaliknya menekankan kepentingan usaha dan pengulangan secara konsisten.
Beliau berkongsi kisah Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menuntut dalam bidang perubatan, yang dikatakan berusaha mengulang bacaan berkali-kali sehingga mampu menguasai bahan pembelajaran.
Beliau turut menjadikan Michael Jackson sebagai contoh kejayaan yang lahir daripada latihan berterusan sejak usia muda, khususnya dalam bidang nyanyian dan tarian.
“Kalau mahu pandai, buat hari-hari. Baca hari-hari, ulang hari-hari. Duduk dengan kitab, belajar dan mengaji setiap hari.
“Tak faham hari ini, baca lagi. Esok masih susah, ulang lagi. Sepuluh kali pun tidak mengapa,” katanya.
Menurutnya, kejayaan tidak semestinya bermula dengan seseorang itu menjadi pelajar paling bijak, tetapi boleh dicapai melalui kerajinan, istiqamah dan kesanggupan untuk terus mengulang serta memperbaiki kelemahan.
“Orang yang rajin akan mengejar, orang yang istiqamah akan sampai dan orang yang sanggup mengulang akan menguasai,” tambah Alif.
Justeru itu, beliau berharap para pelajar yang bakal berangkat ke Timur Tengah pada akhir Ogos ini dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk menuntut ilmu dan pulang membawa manfaat kepada agama, keluarga serta masyarakat.
“Pegang satu pesan ini, tak perlu tunggu jadi pandai untuk rajin.
"Rajinlah hari-hari, kepandaian akan datang kerana akhirnya kejayaan lahir daripada ulangan yang tidak pernah jemu,” katanya.