• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

RM807.31 Juta Perbelanjaan Pembangunan Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 28 November - Secara keseluruhan perbelanjaan untuk pembangunan melibatkan skim 'defferred payment' dan 'scheduled payment' pada tahun ini sebanyak RM 807.312 juta sehingga Oktober.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad puteh berkata, dua projek 'deffered payment' berkenaan  membabitkan projek air di Bukit Sah (Kemaman) dan satu lagi Projek Bekalan Air Terengganu Utara.

"Empat projek 'scheduled payment' pula ialah Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, Projek Muara Sungai Terengganu, Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan juga satu lagi pembangunan Bandar Baharu Kijal.

"Keseluruhannya, projek ini siap sepenuhnya kecuali satu sahaja iaitu pembangunan Projek Bekalan Air Terengganu Utara yang kini mencapai kemajuan 88 peratus," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tepoh, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas (Bajet), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, perbelanjaan tersebut agak besar tahun ini untuk menyiapkan projek-projek terbabit.

"Untuk makluman bersama tahun lepas kita dah berbelanja RM439.74 juta dan pada tahun ini kita berbelanja RM807.3 juta untuk membayar kesemua projek ini dan saya perincikan sedikit.

"Pertama untuk projek di Bukit Sah Kemaman kita telah membayar RM551.34 juta pada tahun ini, untuk Projek Kuala Terengganu Utara kita telah membayar RM188.2 juta.

"Untuk projek Pentadbiran Daerah Kuala Nerus sebanyak RM70 juta, manakala untuk pembangunan Muara Sungai Terengganu RM5.4 juta untuk pembayaran terakhir dan perbelanjaan bagi membina asrama atlet untuk pembayaran terakhir RM24.71 juta pada tahun ini dan untuk pembangunan Bandar Baharu Kijal kita membelanjakan RM47 juta pada tahun ini," ujarnya.