• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

‘Rumah Dihempap Pokok, Rasa Macam Nak Kiamat’ - Norhayati


Norhayati menunjukkan bumbung rumahnya yang dihempap pokok kelapa.
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 11 Februari -  Lima sekeluarga terselamat apabila pokok kelapa menghempap bumbung rumah mereka akibat hujan lebat dan ribut di Kampung Bharu, Tok Dor di sini semalam.

Kejadian jam 4.40 petang itu menyebabkan sebahagian bumbung rumah kediaman milik Norhayati Omar, 45, rosak.

Menceritakan detik cemas itu, Norhayati berkata, ketika berdepan dengan kejadian itu dia merasakan seolah-olah dunia sudah kiamat.

“Ketika itu suami dan anak-anak ada di rumah. Kebetulan saya balik awal, biasanya 5.30 petang baru sampai di rumah.

“Berdepan dengan kejadian itu umpama dah nak kiamat. Dengan bunyinya yang kuat. Kami panik dan tidak tahu nak lari ke  mana. Nak buka pintu pun tak boleh, tiba-tiba ia berkunci,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kediamannya pagi tadi.

Katanya lagi, mereka sekeluarga melakukan pelbagai usaha bagi menenang dan menyelamatkan diri.

“Kami duduk di hujung dinding dengan anak-anak, berzikir tidak putus di bibir dan hanya mampu melihat serpihan atap jatuh.

“Alhamdulillah, tiada kecederaan yang berlaku namun anak saya yang berumur lapan tahun sedikit trauma akibat terkesan dengan kejadian tadi,” jelasnya.

Rumah Ismail Malik yang turut terjejas dalam kejadian semalam. 
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Ismail Malik, 64, dan pasangan Noriah Jusoh, 59, turut terkesan apabila angin yang kuat itu telah menerbangkan sebahagian atap garaj kereta dan rumahnya.

“Kami sedang berehat dalam bilik menanti masuk waktu asar, terdengar bunyi guruh dan kemudian terdengar bunyi sesuatu yang jatuh, rupanya atap yang rumah dan garaj kereta tercabut dan kami berlari menyelamatkan diri.

“Alhamdulillah, kami lima orang sekeluarga tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kereta yang diletakkan bawah garaj pun tidak mengalami sebarang kerosakkan.

Banyak juga kerosakan berlaku namun ini ujian buat kami. Alhamdulillah tak terlalu teruk, orang lain teruk pada ini lagi,” jelasnya yang pasrah dengan ujian yang melanda.

Dalam pada itu, kejadian tersebut turut mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim yang bergegas menziarahi dan berjanji akan membantu keluarga-keluarga berkenaan.

“Insya-Allah, di peringkat DUN kita akan cuba usahakan bantuan dan pertolongan yang termampu bagi membaiki rumah yang rosak terbabit,” tambah beliau.

Keaddan bumbung yang rosak.


Tag: