• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Safawi, Akhyar Bakal Diuji Malam Ini

KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Pemain Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bakal membuat penampilan pertama bersama jersi hitam putih apabila berdepan Selangor FC II di Padang Latihan Selangor FC pada malam ini.

Pengendali Pasukan TFC, Tomislav Steinbruckner berkata, tiga pemain kebangsaan iaitu Safawi, Akhyar dan juga Suhaimi akan kembali bersama TFC untuk tiga aksi perlawanan persahabatan setelah pulang dari menentang pasukan Oman tempoh hari.

Katanya, dua lagi perlawanan persahabatan TFC bakal menentang PDRM FC dan Negeri Sembilan FC yang bertarikh 2 dan 4 April 2024.

“Namun begitu, dua lagi pemain utama pasukan iaitu Azam Azmi dan Ivan Mamut tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan. 

“Azam dilihat memerlukan masa yang agak panjang untuk kembali sembuh dan Ivan Mamut pula dijangka akan dapat kembali bersama pasukan tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini.

Tambah Tomislav, pada ketika ini sangat menguji kecergasan setiap pemain serta kefahaman taktikal.

Menurutnya, perkara tersebut menjadi keutamaan untuk memastikan keserasian dapat diterjemahkan. 

“Keputusan perlawanan ini juga amat penting untuk membina motivasi buat para pemain,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: