• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Safawi, Akhyar Sah Sarung Jersi TFC

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Dua tonggak Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kini sah bersama Terengganu Football Club (Terengganu FC) bagi saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

Menerusi kenyataan media rasmi Terengganu FC berkata kedua-dua penyerang itu diikat masing-masing selama setahun secara pinjaman dari kelab JDT.

“Safawi kini sekali lagi akan menjadi anak didik Tomislav Steibruckner buat kali kedua dimana sebelum ini mereka pernah bekerjasama di dalam pasukan T-Team FC pada tahun 2015.

“Akhyar pula dilihat sebagai calon pemain sayap yang tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import Terengganu FC musim lepas iaitu Sony Norde,” ujar kenyataan itu.

Tambahnya lagi, jika tiada sebarang masalah, kedua pemain itu bakal menjalani latihan pertamanya bersama Sang Penyu bermula 15 Februari ini.

Menurutnya, Safawi akan menyarung jersi bernombor 11 manakala Akhyar pula bakal menyarung jersi bernombor 33 bersama pasukan Terengganu FC.

“Kedua-dua pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik ini berjaya menarik minat pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner.

"Sekali gus, meletakkannya mereka dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025,” jelasnya.

Pihak pengurusan Terengganu FC mengucapkan selamat datang buat kedua-dua pemain dan semoga berjaya membawa kejuaraan buat pasukan gergasi pantai timur itu.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: