• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Sahabat Alam Sejahtera Sumbang Tong Sampah Tambahan

MARANG, 23 Ogos - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sahabat Alam Sejahtera menyumbangkan 60 tong sampah bagi memenuhi keperluan masyarakat di sekitar Marang.

Pengurus NGO Sahabat Alam Sejahtera, Sabri Zakaria berkata, tong sampah berkenaan turut diletakkan di beberapa lokasi kritikal dan berlaku longgokan sampah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.

"Kira-kira 60 buah tong sampah disumbangkan semuanya dan 20 buah tong sampah akan ditempatkan di sekitar DUN Rhu Rendang mengikut keperluan yang lebih utama berdasarkan permohonan daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pihak DUN.

"Di samping penambahan bilangan tong sampah, masyarakat juga perlu mengamalkan budaya menjaga kebersihan dengan baik terutamanya membuang sampah di tempat dan cara yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyerahkan sumbangan tong sampah itu mewakili Pertubuhan Sahabat Alam Sejahtera di Dewan Balairaya JPKK Rhu Rendang pagi ini.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria dan Penolong Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Mohd Harizuddin Mohamad.

Menurutnya lagi, kebiasaannya dengan peningkatan populasi penduduk setempat, masalah sampah ini sering berlaku terutamanya ketika berlaku waktu puncak seperti majlis perayaan, hari cuti dan sebagainya.

"Namun masalah ini juga telah mendapat perhatian pihak kerajaan negeri yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menambah bilangan tong sampah di kawasan masing-masing.

"Selain daripada DUN Rhu Rendang, baki tong sampah ini juga akan diagihkan kepada kawasan DUN yang lain di sekitar Marang di mana terdapat empat dun kesemuanya," tambahnya lagi.


Tag: