• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Sambutan Luar Biasa Warnai Majlis Hari Raya DUN Wakaf Mempelam

KUALA TERENGGANU, 31 Mei- Kira-kira 10,000 tetamu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DUN Wakaf Mempelam yang diadakan di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam.

Majlis yang dijadualkan bermula pada jam 11 pagi itu mula menerima kehadiran dari tetamu seawal jam 10 pagi yang telah mula memenuhi perkarangan majlis berlangsung. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sambutan yang diterima pada tahun ini cukup luar biasa dengan peningkatan sekali ganda kehadiran tetamu mengatasi sasaran asal iaitu sebanyak 5,000 orang tetamu.

"Indikator kepada peningkatan jumlah ini berpandukan kepada hidangan yang disediakan yang telah habis awal. Seawal jam 11.30 pagi, banyak menu yang disediakan telah mula habis. Namun Alhamdulillah, kita berjaya mengatasinya dengan membuat penambahan menu nasi minyak.

"Saya tidak mahu ada tetamu yang hadir pulang dengan perasaan hampa, kerana itu saya meminta pihak jawatankuasa untuk segera tambah menu utama yang kita sediakan iaitu nasi minyak. Pihak jawatankuasa segera bertindak dengan memasak nasi dan gulai daging," katanya.

Sebanyak 10 gerai menyajikan pelbagai hidangan termasuk makanan tradisi Melayu Terengganu seperti laksa Terengganu, laksam, ketupat dan rendang serta nasi nasi minyak disediakan.

Antara gerai yang menjadi tarikan ramai ialah kambing golek, ayam golek, mi goreng, sate dan beraneka jenis minuman termasuk cendol, air batu campur, aiskrim dan kuih muih.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi mengucapkan  terima kasih kepada tetamu yang hadir disamping memohon maaf atas sebarang kekurangan. 

"Saya juga mendapat maklumat ada tetamu yang terpaksa berpatah balik kerana ketiadaan ruang parkir yang mencukupi. Insya-Allah, kita akan membuat penambahbaikan untuk majlis tahun hadapan dengan lebih meriah.

Beliau dan isteri, Fadzilah Ismail turut meluangkan masa sepanjang majlis berlangsung mengambil peluang untuk beramah mesra dengan tetamu yang hadir disamping melayan tetamu untuk bergambar.

"Kita juga menyediakan duit raya buat 1,000 orang kanak-kanak yang hadir disamping menyajikan nyanyian nasyid dari kumpulan 'Voice of DACS' yang menampilkan lagu gema takbir," katanya.


Tag: