Oleh ; Mohd Hafizi
BESUT, 10 September – Sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya hanya dilihat sebagai acara perarakan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan penghayatan ajaran Islam berteraskan nilai amar makruf nahi mungkar.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Nurkhuzaini bin Ab. Rahman berkata, penghayatan terhadap sunnah Rasulullah SAW dan amalan yang diperintah Allah adalah ukuran sebenar sambutan ini.
“Marilah kita jadikan sambutan ini sebagai satu anjakan paradigma daripada hanya berjalan berarak, kepada benar-benar mengamalkan apa yang diperintah oleh Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
"Sesungguhnya, penghayatan inilah yang menjadi ukuran nilai kita di akhirat kelak,” katanya ketika merasmikan Majlis Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Besut 1447H/2025M di sini semalam.
Menurutnya, perarakan yang berlangsung pada 9 September itu menghimpunkan hampir 850 peserta melibatkan 35 pasukan pelbagai jabatan kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, kehadiran YB-YB ADUN bersama ketua-ketua jabatan daerah yang mengetuai kontinjen turut menambah seri majlis.
Tambah beliau, majlis ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh ukhuwah sesama masyarakat, bahkan menyemarakkan semangat umat Islam untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
"Majlis ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh ukhuwah sesama masyarakat, bahkan menyemarakkan semangat umat Islam untuk mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian," jelasnya.
Dalam pada itu, keputusan pertandingan kontinjen terbaik diumumkan seperti Kategori Jabatan, Badan Berkanun iaitu Pejabat Agama Daerah Besut, Pejabat Daerah Besut dan Majlis Daerah Besut
Manakala kategori DUN, JPKK, NGO ialah PUSPANITA Besut, JPKK Kuala Besut dan JPKK Hulu Besut II
Selain itu, kategori Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA, IPTS, dan sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Nurul Ittifaq, Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif dan IMTIAZ Besut.