• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Sampah Jadi Rezeki Jurukimpal

Nasaruddin Samsudeng (kiri) menziarahi Wan Wan Ahmad Fadzil Wan Zakaria di rumahnya di Taman Kalongan Mas, Medan Jaya Rusila.
Oleh: Aslam Wira

MARANG, 18 Oktober - Wan Ahmad Fadzil Wan Zakaria, 30, yang berasal dari Telok Kalong, kini terpaksa hidup berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) kerana kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

Menurut Fadzil, beliau pernah dipanggil orang yang tidak berakal kerana memungut barang di dalam tong sampah, tetapi tidak diendahkan bagi mencari sesuap nasi untuk keluarganya.

Fadzil yang dulunya seorang jurukimpal di sebuah syarikat minyak dan gas kini bekerja sebagai pengutip barang terpakai dan besi buruk di kawasan tong sampah dan tempat pelupusan.

Setelah berstatus OKU, Fadzil juga mengambil upah membuat pelbagai kerja seperti membasuh bangunan, membersih rumah dan upah-upah lain untuk menampung kehidupan isteri dan 4 orang anaknya.


Isterinya, Che Ku Aziana, 29, adalah seorang suri rumah sepenuh masa kerana menjaga 4 orang anaknya yang masing-masing berumur 8, 6, 4 dan 2 tahun.

Fadzil yang kini menetap di Taman Kalongan Mas, Medan Jaya Rusila terpaksa hidup berpindah randah kebelakangan ini kerana menghadapi masalah kesesakan hidup.

Kerjanya diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, kerana pendapatannya sehari lebih kurang RM10.00 sahaja bergantung kepada barang-barang yang diperolehinya.

Dalam keadaan fizikalnya yang tempang, Fadzil tidak mempedulikan tentang tohmahan orang sekililing.

“Bagi saya walaupun berstatus OKU, ianya bukan bermaksud ‘orang kurang upaya’ tetapi ia bermaksud ‘orang kuat usaha’ pada diri saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya (17 Oktober).

Sementara itu, Penyelia Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, lawatan dibuat sejurus mendapat maklumat mengenainya.


“Kami memandang serius dan sedaya-upaya menyelesaikan masalah Fadzil berkaitan perpindahan rumah termasuk status bil-bil yang tertunggak.

“Kita juga sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut dan satu mesyuarat bersama Majlis Tindakan DUN (MTD) Ru Rendang telah ditetapkan bagi menyelesaikan masalah ini,” tambahnya lagi.

Kisah Ahmad Fadzil ini juga telah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri iaitu Dr Alias Razak.

Tag: