• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Sanggup Berhenti Kerja Ternak Lembu Sado

MARANG, 24 Jun - Keputusan meninggalkan kerjaya stabil enam tahun lalu demi minat yang mendalam dalam bidang ternakan ternyata berbaloi buat Aiman Asyraf Kamarudin, 33.

Bermula daripada mengusahakan projek ternakan lembu fidlot secara kecil-kecilan pada 2018, kini bekas penyelia projek syarikat swasta itu boleh menarik nafas lega apabila ladang ternakannya, AIDEN Cattle Farm mampu beroperasi secara komersil di Kampung Tok Fakir, Merchang, di mana tumpuan diberi kepada lembu baka Brahman. 

Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang ternakan, Aiman berkata, semuanya bermula secara kecil-kecilan setelah mendapat tahu bahawa penternak tempatan hanya mampu membekalkan kira-kira 30 peratus sahaja daripada keperluan bekalan daging negara manakala selebihnya dimport dari pelbagai negara.

“Hasil dorongan keluarga, saya nekad berhenti kerja dan selepas projek yang diusahakan mendapat sambutan, saya mula menternak lembu sado pada 2022 dengan fokus mengeluarkan lembu pedaging baka Charolais dan Limousine,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

AIDEN Cattle Farm yang diasaskan oleh Aiman dan tiga adiknya kira-kira enam tahun lalu kini memiliki lapan ekor lembu sado dari baka Charolais dan Limousine serta 35 ekor lembu baka Brahman yang ditempatkan di kandangnya. 

Antara keistimewaan ternakan yang dibela di AIDEN Cattle Farm ialah diet ternakan di sini tidak hanya terhad kepada pallet semata-mata tetapi ia juga turut ‘dihidangkan’ dengan jagung yang dihancurkan, rumput segar dan silaj.

 “Alhamdulillah maklum balas daripada peserta korban yang menyertai progam pakej ibadah korban bersama AIDEN Cattle Farm, daging korban tersebut tidak berlemak, padat dan lembut,” katanya yang merupakan graduan pengajian pembuatan dari sebuah kolej universiti tempatan.

Anak muda yang berasal dari Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu itu berkata, kini AIDEN Cattle Farm telah menjadi antara pembekal lembu korban di negeri ini. 

Mereka menjual lembu korban setiap kali musim perayaan Aidil Adha serta mengadakan pakej ibadah korban secara bahagian bagi kemudahan penduduk tempatan yang terdiri daripada baka Brahman dan Charolais. 

“Berbanding lembu lain, lembu sado ini perlukan lebih perhatian dan suka dimanjakan,” katanya sambil menjelaskan bahawa setiap aktiviti dan rutin harian di AIDEN Cattle Farm boleh diikuti melalui tik tok @aidencattlefarm dan juga Facebook. 

Kegigihan Aiman mengusahakan projek lembu Sado turut mendapat pengiktirafan pihak berkuasa apabila AIDEN Cattle Farm dipilih sebagai ‘Kandang Bimbingan’ Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu, awal tahun ini. 

Lebih membanggakan, beliau turut dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024. 

“Saya terkejut apabila dihubungi pegawai Pejabat Veterinar Daerah Marang minggu lepas untuk dicalonkan sebagai Penternak Jaya 2024 di peringkat daerah Marang.

“Saya tidak menaruh harapan besar untuk menang anugerah tersebut kerana ramai lagi penternak ‘otai’ yang turut dicalonkan bagi kategori berkenaan. 

“Bagi saya pencalonan ini secara tidak langsung telah membakar semangat untuk saya berusaha lebih gigih dan mencapai kejayaan yang lebih besar di masa depan,” ujarnya.