KUALA TERENGGANU, 5 Februari – Kejayaan Maahad Tahfiz wal Tarbiah Darul Iman (MTT) mencatat pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 membuktikan bahawa Sekolah Agama Rakyat (SAR) mampu melahirkan pelajar berprestasi tinggi dan berdaya saing di peringkat negeri serta nasional.
Pengetua MTT, Ustaz Muzaihar Kamal Mustapa Kamal berkata, kejayaan Putera Nurhazziq Zawawi yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik STAM Negeri Terengganu dengan keputusan Mumtaz Soffiy bagi kesemua 10 mata pelajaran merupakan manifestasi keberkesanan sistem pendidikan Islam bersepadu yang diamalkan di institusi tersebut.
"Kejayaan ini merupakan pencapaian luar biasa yang mencerminkan kesungguhan, disiplin serta penguasaan yang tinggi dalam ilmu-ilmu syariah dan bahasa Arab," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pencapaian keseluruhan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.41 dengan empat calon memperoleh pangkat Mumtaz daripada 11 orang calon STAM menunjukkan bahawa SAR bukan sahaja menitikberatkan aspek akademik, malah berjaya membentuk sahsiah dan kekuatan rohani pelajar.

Katanya, pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan pendidikan bersepadu yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, pembinaan sahsiah dan tarbiah ruhiyyah.
“Kejayaan ini bukan sekadar angka dan pencapaian akademik, bahkan ia adalah hasil keberkatan doa, keikhlasan guru-guru dalam mendidik serta kesungguhan para pelajar dalam menuntut ilmu.
"Pihak maahad sentiasa menekankan bahawa ilmu mesti dibina atas asas adab, disiplin dan hubungan yang erat dengan Allah SWT," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan berterusan Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) menjadi faktor penting dalam memperkasa institusi pendidikan Islam rakyat, khususnya dari sudut dasar, kebajikan dan pemerkasaan akademik.
"Sokongan dari sudut dasar, kebajikan, pemerkasaan akademik dan pembangunan institusi amat bermakna serta menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar serta kelangsungan sistem pendidikan Islam rakyat di negeri ini," katanya.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan, kepercayaan dan doa yang berterusan kepada pihak maahad, serta menegaskan komitmen MTT untuk terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berjiwa pendakwah.
"Menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Ta‘ala atas kejayaan ini dan berdoa agar kejayaan ini menjadi pemangkin untuk melahirkan lebih ramai ilmuwan, huffaz dan pendakwah yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.
Pencapaian MTT ini sekali gus mengangkat peranan SAR sebagai institusi strategik dalam pembangunan modal insan berteraskan ilmu, akhlak dan nilai Islam, selari dengan keperluan masyarakat dan negara.