• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Saringan COVID-19 Perlu Kerjasama Orang Ramai

KUALA TERENGGANU, 16, Jun - Kerjasama orang ramai untuk melakukan saringan COVID-19 apabila diminta jabatan kesihatan sangat diperlukan bagi mengelakkan jangkitan terus menular.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato Tengku Hassan Tengku Omar berkata, sudah menjadi tanggungjawab setiap orang yang diklasifikasikan sebagai kontak rapat untuk hadir melakukan saringan.

"Suka saya melihat yang tua dan yang muda, malah kanak-kanak juga datang untuk memberikan kerjasama yang diperlukan kepada petugas kesihatan," ujarnya. 

Tengku Hassan berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar di sini untuk melihat proses dan perjalanan ujian saringan.

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Ladang, Ahmad Kamal Ali serta Ahli Majlis, Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Umbaidah Tengah.

Menurut Tengku Hassan, semalam, berlaku pertambahan 270 individu yang disaring dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang khususnya.

"Saya berterima kasih kepada 'Frontliner' kita hari ini yang terdiri daripada warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Masjid Raja dan lain-lain kerana saling bantu-membantu melancarkan proses ujian saringan tersebut dilaksanakan," katanya lagi.


Tag: