• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Sasar Lepas 500,000 Benih Ikan Tahun Ini

DUNGUN, 11 Julai – Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu (Perikanan) menyasarkan untuk melepaskan 500,000 benih ikan air tawar ke perairan umum di Terengganu pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program pelepasan benih ikan itu membabitkan lokasi yang menjadi tumpuan nelayan serta kaki pancing.

“Bagi tahun ini, kerajaan negeri menyusun 16 siri program pelepasan anak benih ikan di sungai dan tasik seluruh negeri ini dengan sasaran lebih 500,000 anak benih ikan air tawar pelbagai spesis. 

“Ia dilaksanakan secara berperingkat di semua daerah dan dijadualkan akan berakhir pada September depan, setakat ini kira-kira 300,000 anak benih telah selesai dilepaskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Benih Ikan Lampam Ke Sungai Jongok Batu, Hulu Dungun, di sini, hari ini.

Program pelepasan 15,000 benih ikan lampan itu merupakan salah satu projek kelestarian oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Golden Pharos Berhad dengan kerjasama Perikanan bagi menjayakan program memperkayakan sumber perikanan darat.

Mengulas lanjut Dr Azman berkata, menerusi program pelepasan benih ikan dapat dilihat berlaku peningkatan pendaratan hasil perikanan yang direkodkan nelayan darat.

“Ia memberikan indikator dengan peningkatan hasil pendaratan pada tahun 2023 dalam 190 tan metrik berbanding tahun 2022 iaitu dalam 163 tan metrik,” ujarnya.

Sementara itu katanya, program pelepasan anak benih ikan juga boleh dikembangkan menjadi produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dengan mewujudkan santuari ikan.

“Ia boleh dilaksanakan dengan menggazetkan satu kawasan larangan menangkap ikan bagi tujuan melepaskan anak benih dengan pemuliharaan dan penjagaan yang secara tidak langsung ia boleh jadi satu sumber ekonomi kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha tersebut setakat ini telah dilaksanakan di Lata Ulu Kasar, Setiu. 

“Baru-baru ini kita telah lepaskan 700 anak benih ikan kelah merah di santuari tersebut dengan nama 'Santuari Ikan Sesohor Setiu' yang menjadi santuari ikan yang kedua selepas Tasik Kenyir.

“Kita akan kembangkan lagi ke beberapa lokasi strategik di antaranya di Lata Tembakah, Besut yang strategik untuk diwujudkan santuari,” ujarnya.