• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Optimis Mampu Capai Tiga Juta Pelancong

MARANG, 16 Ogos - Kerajaan negeri optimis mampu mencapai sasaran tiga juta pelancong ke Terengganu sepanjang tahun ini berdasarkan sambutan menggalakan ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata penganjuran program berskala besar seperti 'Bike Week', 'Geng Y Mega Gathering 2022' dan 'RXZ Members 4.0' merancakkan pengunjung ke negeri pesisir pantai itu.

"Saya yakin kita mampu mencapai angka ini dengan adanya pelbagai program termasuk yang telah dirancang oleh Jabatan Pelancongan sendiri melalui 'calendar of event'," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UPDI semasa melakukan tinjauan kerja menaiktaraf perbekalan air di Kampung Che Hassan, Gelugor Kedai, di sini kelmarin

Jelasnya, keadaan semasa yang berlaku di Terengganu kini mengembirakan pemain industri pelancongan terutamanya di pulau-pulau.

"Rata-rata pelancong suka memilih lokasi berkenaan untuk menghabiskan waktu bersama keluarga sehingga mereka menyatakan mahu meneruskan operasi walaupun di musim tengkujuh.

"Pada kebiasaan apabila masuk sahaja Oktober, cuaca kurang baik namun mereka sangat bersemangat setelah sekian lama tidak merasai keadaan sebegini.

"Bagi kami apa yang penting dan utama adalah keselamatan, sekiranya pada tahun ini mereka merancang untuk tidak mahu menutup chalet adalah penting untuk menjamin keselamatan pengunjung," ujarnya.