BESUT, 6 Oktober – Enam lori tangki digerakkan dan 15 tangki statik ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu memenuhi keperluan air pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah ini pada Selasa.
Menurut SATU, bantuan bekalan air sementara itu dilaksanakan seiring usaha membaiki kerosakan di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Bunga.
“Kami memahami kesulitan yang dihadapi pengguna apabila bekalan air terganggu, khususnya untuk menguruskan keperluan harian keluarga.
“Lori tangki digerakkan untuk menghantar bekalan air ke kawasan terjejas, manakala tangki statik ditempatkan di lokasi strategik bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan sementara,” kata SATU dalam kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu, pasukan teknikal SATU sedang menjalankan kerja pembaikan bagi memulihkan operasi loji secepat mungkin.
“Tumpuan kami ketika ini adalah menyelesaikan kerosakan berkenaan dan membantu memenuhi keperluan air pengguna sepanjang tempoh gangguan.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menghargai kesabaran pengguna sementara kerja pembaikan dilaksanakan,” katanya.
Berdasarkan makluman lokasi tangki statik yang dikeluarkan SATU, lapan lokasi disenaraikan iaitu Taman Korporat, Perumahan Gong Tengah, Masjid Kuala Besut, Masjid Balik Bukit, Taman Teratur, Kampung Gaung, Taman Desa Tanjung dan Taman Noryanti.
Sementara itu, jadual penghantaran lori tangki bagi jam 2 hingga 3 petang pada 6 Oktober melibatkan Hospital Besut, pusat dialisis MAIDAM, Padang Landak, Kampung Raja dan Alor Lintang.
Turut disenaraikan ialah Klinik Kesihatan Jerteh, Padang Luas, Kota Putera, Gong Medang dan Kuala Besut.
Penghantaran juga dijadualkan ke Masjid Kampung Tok Has, Masjid Kem Gong Kedak, Masjid Beris Bharu, Masjid Beris Lampu dan Masjid Pekan Kuala Besut.
Gangguan yang melibatkan 39,610 akaun itu berpunca daripada kerosakan pada panel utama di LRA Bukit Bunga sehingga menjejaskan bekalan elektrik ke loji tersebut.
Berdasarkan notis SATU, tempoh gangguan yang dimaklumkan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam, 6 Oktober.
Antara kawasan terlibat ialah Kechil Lama, Kechil Baru serta subzonnya, Tenang, Keluang, Selasih, Puteri, Raja, Kenak serta subzonnya, Buluh 1 dan 2, Keruak, Payong serta Bubus.
Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan bekalan air yang ada secara berhemat sepanjang tempoh gangguan.
Sebarang pertanyaan berkaitan gangguan dan bantuan bekalan air boleh dibuat melalui SATU Careline di talian 1-300-88-2111 atau Bilik Gerakan di talian 09-695 5512 yang beroperasi 24 jam.