• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

Satu Sekolah Di Mukim Hulu Besut Ditutup

KUALA NERUS, 7 April - Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Hulu Besut, ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Hulu Besut, berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, sekolah yang mempunyai seramai 385 murid termasuk 180 murid perempuan itu ditutup sehingga kerajaan mengumumkan penamatan PKPD.

Tambahnya, walaupun tiga kampung di mukim Kuala Besut diumumkan sebagai kawasan pelaksanaan PKPD, tetapi hanya membabitkan satu penutupan sekolah rendah.

"Jumlah keseluruhan murid di SK Keruak, Hulu Besut adalah seramai 385 murid Tahun Satu dan Tahun Enam iaitu 205 murid lelaki dan 180 murid perempuan.

"Walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD, tetapi tiada murid dan guru serta pengurusan sekolah dijangkiti COVID-19," jelasnya.

Salim berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat negeri di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD di tiga kampung di mukim Hulu Besut, iaitu
Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak, berkuat kuasa hari ini.

Ismail berkata, keputusan pelaksanaan PKPD itu dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan kes COVID-19 di tiga lokaliti terbabit.

"Sehingga kini, secara kumulatif KKM sudah melaksanakan 58 ujian saringan di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak dan enam orang disahkan positif COVID-19," ujarnya.

Menurut Salim, sekolah itu akan dibuka selepas kerajaan mengumumkan penamatan PKPD.

Bagaimanapun, jelasnya, sepanjang penutupan sekolah itu, pengurusan sekolah itu akan melaksanakan pembelajaran menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Tag: