'Saya Cuba Tolong Adik-Adik Tapi Gagal' - Abang Mangsa

HULU TERENGGANU, 30 November - "Saya berusaha alihkan sisa runtuhan namun gagal setelah berlakunya pergerakan tanah dan tiba-tiba saya tidak sedarkan diri," ujar Uzair Azman,17.

Dia merupakan mangsa yang terselamat daripada tragedi tanah runtuh yang turut mengorbankan dua adik perempuannya di Kampung Bukit Apit, Ajil petang semalam.

Uzair yang dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, pukul 11 malam berkata, dia sempat mendengar jeritan serta melihat salah seorang adik perempuannya di bawah runtuhan sebelum tidak sedarkan diri. 

Berkongsi cerita, sebelum kejadian dia berada di rumah jiran berdekatan dan tiba-tiba dikejutkan bunyi kuat runtuhan tanah sebelum diikuti jeritan meminta tolong oleh abangnya, Abdul Raziq,18.

"Saya segera pulang serta meluru masuk untuk cuba selamatkan adik-adik namun tidak berjaya... terdengar suara adik minta tolong.

"Saya juga nampak kelibat salah seorang daripada mereka beberapa ketika sebelum dia tertimbus setelah terjadinya satu lagi runtuhan di bahagian ruang tamu.

"Manakala abang dalam bilik belakang. Dia sempat keluar selamatkan diri memandangkan bilik itu tidak terkena runtuhan tanah," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung, Ajil, dekat sini hari ini.

Tambahnya yang merupakan anak keempat dari tujuh beradik, ketika kejadian ibunya, Ruziah Fuad, 46, tiada di rumah kerana mempunyai urusan di luar.

Sementara itu, anak sulung Ruziah iaitu Aminuddin Azman, 25, berkata walaupun sedih dengan kejadian menimpa namun dia reda dengan ketentuanNya.

"Semoga ibu kembali kuat kerana ibulah yang menjadi ketua keluarga selepas kematian ayah pada 2019 dan menjaga kami tujuh beradik dengan hasil jualan sebagai penjual kuih," ujarnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan dua beradik maut dan seorang cedera dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil kira-kira 4.30 petang pada Jumaat.
 


Tag: