• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

"Saya Sudah Rasa Akan Kehilangan" - Ibu Mangsa Lemas

DUNGUN, 27 September - Perasaan akan kehilangan sesuatu pada malam sebelum kejadian akhirnya menjadi mimpi ngeri bagi Almiah Nor Ali, 47, apabila terpaksa reda dengan tragedi anaknya maut lemas ketika mandi di sungai.

Dia merupakan ibu kepada mangsa lemas Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, pelajar darjah enam Sekolah Kebangsaan Pulau Serai berkata hanya mampu berdoa supaya tabah menerima ujian tersebut.

"Pada hari kejadian, kawannya ada datang ke rumah bagi memaklumkan tentang kejadian Rafiudin lemas di sungai.

"Perasaan saya mula tak tenteram, awalnya saya tak percaya dia (Rafiuddin) hanyut di sungai sebab setahu saya dia ke klinik gigi dengan ayahnya, tapi apabila melihat basikalnya tiada, kami terus ke tempat kejadian, " katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini hari ini.

Almiah yang lebih mesra dipanggil Mie turut berkata, dia menerima ketentuan takdir dengan penuh tabah dan menzahirkan penghargaan bagi semua pihak sehingga berjaya menemui jasad anaknya.

"Saya sudah rasa akan kehilangan" - Almiah Nor

Rafiuddin anak keenam daripada tujuh adik-beradik dilaporkan hilang setelah dihanyutkan air deras berjaya ditemui pada jam 2.30 pagi tadi di Sungai Dungun, Kampung Rajawali tidak jauh daripada lokasi lemas.

Mangsa ketika itu mandi bersama empat seusianya iaitu Muhammad Qhalish Iman Hazimi, Muhammad Aqil Shafie, Wan Adip Hakimi Wan Ahmad dan Raja Muhammad Anas Raja Ibrahim kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyampaikan sumbangan buat keluarga mangsa serta melahirkan rasa syukur kerana jenazah berjaya ditemui. 

"Semoga keluarga mangsa tabah atas kehilangan anaknya dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu berusaha mencari mangsa," katanya. 


Tag: