• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Sebar Ilmu Berhijab, Bukan Tindas Wanita

KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Program Terengganu Hijab Day memberi kefahaman dalam menyebarkan ilmu berhijab bukan untuk menindas kaum wanita.

ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pentingnya program ini diadakan  bagi melahirkan generasi wanita yang mengikut syariat Islam dengan berpakaian patuh syariah.

"Kita menyokong program-program yang dilaksanakan oleh Hari Tudung Sedunia (World Hijab Day).

"Ramai lagi kefahaman yang cetek tentang bertudung.

"Kita boleh berhijab dan boleh bergaya berfesyen apa saja tapi masih lagi mengikut landasan Islam serta batasan Islam yang telah ditetapkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di Manis FM, semalam.

Menurutnya, sepanjang bulan Februari, negeri Terengganu akan mengadakan program yang menyentuh tentang berhijab.

"Sebenarnya kita bukan kata orang Terengganu tak berhijab, ramai sahaja, hampir majoriti rakyat khususnya wanita berhijab tapi bagaimana kita nak sempurnakan berhijab itu.

"Macam mana kita nak fahamkan berhijab dengan ilmu dan nak bekalkan mereka hijab ini sebagai benteng ataupun satu pertahanan dan hak wanita. Itu kita nak bagi kesedaran sebenarnya," ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa, bukan hanya bulan Februari sahaja hanya di kerah bertudung tetapi berterusan.

"Kita manusia sentiasa perlu diberi peringatan, bukan bulan Februari sahaja bertudung, bulan Rejab sahaja bulan  Penghayatan Solat, bulan lain tak solat ke, bukan ! Bulan februari bulan kemuncak berhijab.

"Sebenarnya kita nak satu penegasan, satu peringatan yang menyedarkan tentang kewajipan menutup aurat dan kempen ini berterusan," kata Zuraida.

Beliau menambah, gelombang Terengganu Hijab Day akan diadakan di setiap Parlimen dan daerah di Terengganu yang mana masih mengekalkan street dakwah jalanan.

"Kita akan bagi pamplet, demokrasi pakai tudung, tazkirah ringkas tentang kesedaran bertudung aurat. 

"Ia lebih konsep santai sebab kita tahu anak muda memang tak boleh dengar ceramah lama-lama, kumpul ramai-ramai, " katanya.

Justeru itu, tanggungjawab menutup aurat bukan hanya wanita sahaja tetapi kesedaran para wali.

"Masing-masing main peranan jaga maruah dan aurat anak-anak jagaan mereka

"Saya sangat mengharapkan Sokongan orang ramai hadir memeriahkan program ini dan menyambut baik program yang dianjurkan pihak kerajaan," tambah Zuraida.


Tag: