• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Segerakan Pembinaan Hospital Marang Tangani Kesesakan di HSNZ

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Kerajaan Persekutuan digesa mempercepat proses membina Hospital Pakar di daerah Marang dan menaik taraf hospital daerah dengan fasiliti yang lebih baik.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, Terengganu mempunyai satu sahaja hospital yang lengkap prasarana untuk rawatan kes-kes sakit kritikal iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah ( HSNZ).

"Apabila ini berlaku, seluruh pesakit yang memerlukan rawatan khas terpaksa dirujuk ke HSNZ, ini menyebabkan hospital itu menjadi sesak dan membebankan rakyat.

"Isu ini telah saya angkat dalam sidang perbahasan Belanjawan 2024 lalu, namun tidak mendapat jawapan yang tuntas daripada Kementerian Kesihatan sedangkan pekara ini sangat berkait dengan maslahat utama iaitu nyawa rakyat Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian dalam ucapan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah beliau, pesakit turut menghadapi kesukaran apabila perlu ke hospital yang jaraknya terletak jauh dari tempat tinggal.

"Pesakit kritikal dari Besut atau Kemaman akan dirujuk ke Hsnz atau hospital luar, sama ada Kuantan atau Kota Bharu yang jaraknya purata mengambil masa hampir dua jam perjalanan.

"Pekara ini tentunya merisikokan nyawa dan kesihatan pesakit selain waris turut terbeban dengan kos penyenggaraan yang rumit dan lebih tinggi", katanya. 


Tag: