• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Seimbangkan Akademik Dan Aktiviti Persatuan



Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 16 April- Pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara digalakkan menyertai aktiviti persatuan dan dalam masa yang sama bersungguh-sungguh dalam bidang akademik.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, mereka perlu membiasakan diri dengan aktiviti organisasi persatuan pelajar dan tidak mengasingkan diri.

“Lontarkan masalah jika ada supaya perkara sulit akan dapat dirungkai. Berilah kerjasama yang baik kepada  kepimpinan yang sentiasa turun dari semasa ke semasa," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan seramai tujuh orang pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir dan seorang ke Turki di sebuah restoran disini, semalam.

Alias turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang berjaya mendidik dan menjuruskan minat anak-anak kepada bidang agama.

"Kelapan-lapan orang ini yang mengambil pelajaran dalam bidang pendidikan Islam menjadi harapan kita semua agar mereka dapat mengantikan pemimpin yang ada sekarang ini pada masa akan datang," ujarnya.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM)  yang membantu menguruskan pelajar-pelajar untuk memudahkan mereka meneruskan pengajian di sana.

" Kita juga mengharapkan pelajar ini bukan sekadar menyambung ijazah pertama, tetapi kita mengharapkan mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk master dan PhD," ujarnya.


Tag: