• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Sekali Ganda Dari Sasaran, 178 Pek Darah Terkumpul

BESUT, 28 Julai - Kempen Derma Darah di Besut berjaya memperolehi 178 pek darah menjadikan suatu rekod baharu bagi kempen derma darah di Dewan Gong Nering, Jerteh.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, seramai 264 orang mendaftarkan diri sepanjang program berlangsung tetapi sebanyak 178 orang sahaja yang lulus berdasarkan saringan awal yang dilakukan.

"Saya difahamkan misi kali ini berjaya melebihi target yang dibuat oleh pihak Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, yang sebelum ini merekodkan hanya di bawah 100 pek di dewan ini.

"Saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh sekretariat yang menjayakan program kali ini, seperti Jabatan Amal Malaysia di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Gong Nering dan lain-lain," katanya.

Ustaz Wan Azhar juga mengucapkan penghargaan kepada penderma dan mereka yang berhasrat untuk menderma namun tidak dapat menyumbang pada program tersebut.

"Semoga sumbangan kita ini akan membantu pihak Tabung Darah yang berada dalam situasi yang agak kritikal," katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Penerangan, Tabung Darah HSNZ, Suriyati Md Ghani berkata, Kelantan dilaporkan kekurangan darah pada 25 Julai lalu dan Tabung Darah HSNZ telah memberi 50 pek darah sebagai bantuan segera buat mereka.

"Harapan kami agar program seperti ini dapat dibuat secara berterusan bagi menampung bekalan darah hospital. Kerjasama yang baik ini memberi manfaat untuk semua, terima kasih," katanya.

Program itu berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 Julai bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang. Pendaftaran telah dibuat melalui maya dan secara terus di dewan tersebut.

Sementara itu, salah seorang penderma, Musa Hakimi Mohd Hamdan, 23, berkata, dia baru sahaja tiga kali menderma sejak tahun 2017.

"Saya berasa simpati terhadap mereka yang kurang bernasib baik terutama mereka yang kehilangan darah, jadi ini mendorong saya untuk menderma," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.