• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

Sekatan Royalti Petroleum Jejas Sektor Pelancongan Terengganu

DUNGUN, 10 Julai – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, menyatakan bahawa sekatan pembayaran royalti petroleum memberi kesan yang besar kepada sektor pelancongan negeri Terengganu.

Menurut beliau, sejak awal pemerintahan kerajaan negeri, sebanyak 90 peratus daripada perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negeri datang daripada royalti minyak. 

"Hanya 10 peratus perbelanjaan dikutip daripada cukai dan sumber lain. Oleh itu, apabila pembayaran royalti minyak disekat, ia memberi impak yang sangat besar kepada keupayaan kerajaan negeri untuk menguruskan pembangunan dan pembayaran hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Program Lawatan Ke Tapak Cadangan Projek Pembangunan Pelancongan Dan Sesi Perbincangan Bersama Penggiat Pelancongan Terengganu, Pulau Tenggol bertempat di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di sini baru-baru ini.

Razali berkata apabila disekat, maka pelbagai sektor akan merana termasuk pelancongan.

"Maksudnya, pembangunan sukar untuk kita uruskan dengan sempurna dan hutang-hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu terpaksa tidak dibayar.

"Kita sebenarnya merayu kepada pihak kerajaan pusat supaya meneruskan pembayaran royalti minyak seperti biasa, seperti kerajaan-kerajaan lain.

"Supaya walaupun negeri pembangkang, tetapi pembangunan tetap sama, pemerintahan daripada rakyat tetap sama," tambahnya.

Menurutnya, adalah penting untuk memastikan pembangunan negeri dan pemerintahan daripada rakyat tidak terjejas.

Beliau turut menegaskan bahawa konsep federalisme perlu diterapkan dengan adil dan menyatakan bahawa royalti minyak adalah penting untuk membangunkan negeri Terengganu sebaik mungkin.


Tag: