• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Sekolah Rendah Sukan Pertama Bakal Dibina Di Jabi

Ahmad Razif  menggunakan jengkaut sebagai gimik menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi membina Komplek Mini Sukan Jabi. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail 


Kerajaan negeri bercadang akan membina sekolah rendah sukan yang pertama di negara ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi sekiranya Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi  Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Cadangan sekolah rendah sukan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan sebagai memaksimumkan penggunaan Kompleks Sukan Mini Jabi yang  bakal dibina bulan depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kompleks sukan mini bernilai kira-kira RM9 juta itu  akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk padang bola bertaraf antarabangsa, gelanggang bola tampar berbumbung, gelanggang olahraga, tempat duduk berbumbung, surau dan pejabat pengurusan.

"Kita akan mencadangkan Sekolah Kebangsaan Jabi dekat sini yang terletak berhampiran tapak kompleks sukan mini berkenaan sebagai perintis kepada projek sekolah sukan peringkat rendah tersebut.

"Sekiranya BN terus diberi mandat sebagai kerajaan negeri, kami bersedia untuk membina bangunan asrama bagi tujuan sekolah sukan terbabit," katanya selepas menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat di Jabi, Besut, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Halina Zakaria,  Ketua UMNO Bahagian Setiu, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi Mohd Iskandar Jaafar.


Tag: