• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Selamat Jalani Fasa Dewasa


Oleh : Abd Muhaimin Muhammed

SETIU, 4 Disember- Seramai 100 kanak-kanak di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri selamat melalui `fasa menjadi dewasa'  apabila menyertai majlis berkhatan beramai-ramai di Markas Tarbiah Lukman Nul Hakim Guntung, di sini, semalam.

Pengerusi Permaisuri Care, Mohd Nor Hamid berkata, program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Komuniti DUN Permaisuri (Permaisuri Care) dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada ibu bapa sekali gus meringankan sedikit beban kos mereka dalam perbelanjaan menguruskan proses berkhatan anak masing-masing.

“Sambutan pada hari ini amat meriah kerana lebih 300 masyarakat hadir terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak mereka. Jadi, saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam mendekatkan lagi ukhwah sesama kita,"katanya.


Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman dan Pegawai Kanan II Jabatan Bomba Setiu, Muhammad Izani Zakaria.

Sementara itu, Zul Bhari pula berharap supaya anak kecil yang menyertai majlis itu akan mendapat u pengalaman manis dan memanfaatkan waktu sembuh itu dengan sebaik mungkin.


"Semoga mereka semua membesar sebagai pejuang dan pembela Agama Allah satu hari nanti," kata Zul Bhari ketika merasmikan program itu.

Program kali keempat itu berlangsung meriah dan gegak-gempita dengan sorakan riang peserta yang basah kuyup disiram pili bomba bertukar cemas apabila ada di kalangan mereka mula gementar sebaik sahaja bermula acara berkhatan.

Tag: