• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Selepas Beruk, ADUN Beri ‘Chainsaw’ Pula Untuk Rakyat

Muhammad Khalil bersama wakil MPKK yang menerima sumbangan gergaji rantai.


Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 6 Februari – Belum pun reda cerita Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menghadiahkan seekor beruk untuk membantu salah seorang penduduk di sana, kini Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk pula mengagihkan gergaji rantai (chainsaw) kepada kampung-kampung di kawasannya.

Kali ini, sebanyak 36 buah mesin gergaji rantai telah diagihkan kepada setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut untuk kemudahan masyarakat setempat.

ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata agihan mesin chainsaw itu merupakan kesinambungan daripada bantuan mesin pemotong rumput yang telah diagihkan pada tahun lepas.
Muhammad Khalil.

“Tahun lalu, kita telah mengagihkan mesin pemotong rumput dan pada tahun ini kita bagi mesin ‘chainsaw’ pula, tidak lain untuk kemudahan MPKK bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas perkembangan yang berlaku dalam negeri dibawah pemerintahan Menteri Besar , Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah berjaya membawa Terengganu ke tahap lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penyerahan peralatan berkenaan di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, semalam.

Majlis penyerahan ‘chainsaw’ itu juga turut disertai Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Buruk, Mohd Soud Said dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Batu Buruk, Salleh Abdullah.

Khalil menyerahkan gergaji rantai kepada salah seorang wakil MPKK sambil diperhatikan Mohd Soud (berbaju putih).



Tag: