• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Semarakkan Rasa Sayang Dan Cinta Kepada Negara

KEMAMAN, 10 Ogos - Setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan politik perlu mengambil peluang untuk membuktikan rasa sayang dan cinta kepada negara melalui sambutan bulan kemerdekaan dan kempen jalur gemilang bagi memperingati tarikh bersejarah 31 Ogos.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menyeru rakyat Terengganu khususnya di kawasannya agar mengibarkan jalur gemilang di premis dan rumah masing-masing bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri.

"Kibarkanlah jalur gemilang yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia. Zahirkan patriotisme yang tinggi dalam jiwa dan semoga kita dapat mengukuhkan lagi jati diri serta memupuk semangat cintakan negara secara konsisten untuk dicontohi oleh generasi akan datang.

"Musuh kita sekarang bukan hanya semata-mata dalam medan perang, tetapi melalui tipu muslihat dan peperangan minda dalam media dan sebagainya," ujarnya ketika merasmikan Program Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Cukai, semalam.

Katanya lagi, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri melalui MPKK untuk memastikan rakyat generasi hari ini memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan.

"Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang diperoleh menjadi rapuh," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menyerahkan sebanyak 3,000 batang jalur gemilang kepada 30 MPKK DUN Cukai untuk dipasang di kawasan kampung masing-masing.


Tag: