Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Terengganu mengumumkan operasi carilamat warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencandat sotong di perairan Pulau Bidong sejak 25 Jun lalu, ditamatkan pada jam 7.00 malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi itu ditamatkan setelah memasuki hari ketujuh pencarian tanpa sebarang petunjuk baharu.
"Pencarian difokuskan di kawasan seluas 148.95 batu nautika sekitar perairan Pulau Kapas, namun tiada penemuan signifikan ditemukan sehingga operasi ditamatkan.
"Operasi terakhir hari ini melibatkan Kapal Maritim (KM) RAWA dan Bot PENGAWAL 16 yang digerakkan seawal 7.00 pagi," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Maritim Terengganu, malam ini.
Terdahulu mangsa, Mohd Noor Abdullah, 54, dipercayai ke laut seorang diri dan gagal pulang ke rumahnya, mencetuskan pencarian berskala besar melibatkan pihak Maritim Terengganu dan komuniti nelayan sejak seminggu lalu.