• 21 Okt 2020 | 4 Rabiul Awal 1442

Semua Turun Padang Agih 700 Pek Sinar Ramadan

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 14 Mei - Beberapa jabatan dan agensi turut serta dalam satu program turun padang atau Sinar Ramadan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang kelmarin.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, beliau amat teruja dan seronok melihat kerjasama yang diberikan oleh jabatan-jabatan yang terlibat sepanjang program tersebut.

“Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang telah menjemput beberapa jabatan seperti Pejabat Daerah Marang, Pejabat Polis Daerah Marang, Jabatan Kebajikan Daerah Marang dan Majlis Daerah Marang untuk bersama-sama mengagihkan barang sumbangan kepada mereka yang layak.

“Kerjasama yang berlaku ini, menunjukkan kami sama-sama cakna lebih-lebih lagi melibatkan aktiviti seperti ini bagi menyelami kehidupan rakyat yang kurang berkemampuan,” ujarnya semasa ditemui pemberita.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zaid Mat Dris, Pegawai Kebajikan Daerah Marang, Mardiah Mohamed, dan Setiausaha Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Nadia Zahira Zakaria.

Menurut Wahad, program berkenaan merupakan program tahunan bersempena bulan Ramadan dan ia ditaja oleh Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, pek keperluan harian diagihkan kepada 700 orang penduduk yang layak di sekitar DUN Rhu Rendang mendapat kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.

“Walaupun sambutan Ramadan dalam kekurangan kerana berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, sumbangan ini tetap diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Diharap sedikit sumbangan yang diagihkan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam menghadapi bulan Ramadan,” tambahnya lagi.


Tag: