• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

​​Sensitif Dengan Tipu Daya Musuh Islam

DUNGUN, 23 Ogos- Umat Islam diingatkan agar sensitif tipu daya musuh yang ingin mengganggu-gugat  agama rasmi negara. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menegur sikap setengah orang-orang Islam yang bersikap acuh tak acuh apabila Islam lantang dihina. 

 "Ini kita kena peka, kena ambil tahu apa kerja buat orang bukan Islam kepada agama kita, ada yang bersikap, selagi dia boleh makan, dia boleh tidur, dia lupa akan tanggungjawabnya kepada Allah," katanya. 

Alias berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Al-Quran Sempena Awal Muharam 1442H di Dewan Al-Husna, Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini. 

Majlis itu turut dihadiri Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani yang sebelum itu telah menyampaikan ceramah ringkas di hadapan hampir 500 orang yang terdiri daripada guru-guru dan pelajar-pelajar al-Quran.

Beliau juga turut menyeru kanak-kanak  yang memenuhi dewan terbuka berkenaan supaya tidak culas untuk  hadir ke kelas-kelas al-Quran. 

"Jangan ada niat atau rasa hendak ponteng mengaji dan bila berada di kelas terus mengaji, jangan bila giliran tok guru hendak ajar, barulah ngaji, jangan gitu, biar kelas tersebut riuh rendah dengan bacaan Al- Quran," katanya. 


Tag: