• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Sesuap Kasih 'Platform' Kebajikan Masyarakat


 
Ustaz Ridzuan (dua dari kiri) menyampaikan bungkusan makanan kepada pengguna jalan raya di hadapan Masjid Wakaf Tembesu.
KUALA NERUS, 9 Januari –Penganjuran Program Sesuap Kasih yang menjadi ‘platform’ kerajaan negeri dalam melaksanakan kerja kebajikan di kalangan masyarakat umat Islam, kini berlangsung di peringkat Daerah Kuala Nerus.

Program itu dianjurkan melalui  Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Sabasun Sdn Bhd, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pengurusan Masjid Wakaf Tembesu dan pihak swasta lain.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, program itu merupakan platformkepada seluruh masyarakat untuk berbakti dan melakukan kebajikan dengan memberikan sumbangan makanan kepada penduduk di sekitar daerah ini.

Penduduk di sekitar Masjid Wakaf Tembesu menyertai Program Sesuap Kasih di perkarangan masjid itu hari ini.

Katanya, kerajaan negeri berhasrat mengadakan program ini seminggu sekali di setiap hari khamis di Perkarangan Masjid Wakaf Tembesu di sini, manakala di Kuala Terengganu akan dimulakan semula tahun ini pada setiap hari Rabu bertempat di Hentian Bas di hadapan JHEAT Kuala Terengganu.

“Paling kurang pun sebulan sekali bergantung kepada dana yang kita (kerajaan) ada.

“Sebab itu saya menyeru kepada umat Islam seluruh negeri Terengganu khususnya dan seluruh Malaysia amnya untuk sama-sama mengambil saham dalam menjayakan program yang sangat baik ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program itu di Perkarangan Masjid Wakaf Tembesu di sini hari ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuat kawalan agar penunggang motosikal menerima bungkusan makanan dari pihak penganjur ketika melalui jalan bersebelahan Masjid Wakaf Tembesu.

Sementara itu Ustaz Azmi Tengah ketika ditemui berkata, di Kuala Terengganu bermula Februari tahun lalu, hampir 200 orang diraikan dalam program tersebut setiap hari Rabu dengan menerima makanan disediakan di hadapan Hentian Bas berkenaan.

Katanya, program itu akan diteruskan di tempat yang sama mulai bulan ini.

Tag: